Menang secumpak, rugi segantang
by
Zulkifli Sulong
Read here in Malaysia Insider
Ketika para pemimpin Barisan Nasional (BN) yang diketuai Datuk Seri Najib Razak berkonvoi ke Istana Bukit Chandan di Kuala Kangsar, polis melepaskan berpuluh-puluh das tembakan gas pemedih mata bagi menyuraikan mereka yang berkumpul di perkarangan masjid Ubudiah.
Kesannya, orang ramai lari bertempiaran setelah gas pemedih mata berkepul-kepul asapnya di sekitar masjid Ubudiah yang. Kebanyakan mereka lari dan berlindung di dalam masjid yang terkenal itu.
Ada antara mereka melawan kembali dengan membalingkan botol air mineral dan batu ke arah polis. Mereka yang dikejar lari bertempiaran tetapi selepas itu mereka berkumpul kembali.
Sambil mengawal penunjuk perasaan, polis juga terpaksa mengawal lalulintas bagi membolehkan konvoi Najib melepasi beribu-ribu kenderaan yang berada di atas jalan raya menuju istana.
Inilah kesannya apabila keputusan kontroversi dibuat untuk menobatkan Datuk Dr Zambry Abdul Kadir, bekas tahanan ISA bersama Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai Menteri Besar baru kerajaan negeri Perak.
Keputusan ini dikatakan kontroversi kerana Menteri Besar Perak dari Pakatan Rakyat, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaludin masih ada disitu. Walaupun diperintahkan meletakkan jawatan bersama para Exconya, beliau memohon derhaka iaitu menolak titah Sultan Perak itu.
Dia berbuat demikian kerana merasakan dia tidak berhak dipecat sebegitu rupa. Inilah juga keputusan semua pemimpin beliau dari Pakatan Rakyat. Bagi Nizar, dia boleh meletakkan jawatan tetapi biarlah melalui undang-undang yang jelas bukan pakai titah begitu sahaja.
Menurut Tun Mohamad Salleh Abas, bekas Ketua Hakim Negara, jalan yang betul untuk menabalkan menteri besar baru adalah dengan menjatuhkan dulu menteri besar yang ada melalui undi tidak percaya di dalam sidang Dewan Undangan Negeri.
Setelah jatuh dan kumpulan yang baru mendapat undi percaya, barulah dia sah untuk mendapat perkenan Sultan dan dilantik sebagai menteri besar.
Pandangan Tun Salleh sentiasa begitu walaupun ketika ura-ura Pakatan Rakyat pimpinan Datuk Seri Anwar Ibrahim mahu mengambil alih kerajaan Pusat 16 September lalu. Atas dasar pandangan inilah, Anwar dan pimpinan Pakatan beberapa kali meminta Abdullah mengadakan sidang Parlimen ketika itu.
Pandangan beliau berbeza dengan Profesor Dr Aziz Bari dari UIA yang mengatakan cukup dengan Yang Dipertuan Agung atau sultan berpuashati bahawa kumpulan berkenaan mempunyai majoriti yang cukup.
Dalam keadaan ada pandangan begitu pun, MB Perak, Mohd Nizar berpendapat, Sultan Perak tidak boleh membuat kesimpulan itu kerana bilangan Adun antara Pakatan dan BN kini sama banyak iaitu 28 - 28 di samping tiga Adun Bebas.
Bagi Nizar, tiga Adun bebas itu pula kini sudah dipertikaikan keahliannya kerana Speaker Dun telah menerima perletakan jawatan mereka dan kes mereka kini ke mahkamah selepas SPR menolak diadakan pilihan raya semula di kerusi yang dikosongkan itu.
Oleh itu, dalam suratnya kepada Sultan Perak, beliau memohon perkenan baginda agar membubarkan Dun Perak dan mandat diberikan kepada rakyat untuk menentukan siapakah yang berhak mentadbir negeri Perak.
Namun, apabila Sultan kekal dengan keputusannya dan melantik Dr Zambry sebagai MB, rakyat tidak akan berpuashati. Maka berlakulah apa yang berlaku di Bukit Chandan hari ini. Benar, Dr Zambry berjaya mengangkat sumpah sebagai MB, namun kesetiaan rakyat tercalar.
Yang terlebih penting, apakah yang berlaku kepada Umno, BN dan khasnya Najib SELAPAS ini ?
- Di Kuala Terengganu, pilihan raya yang dianggap referandum untuk beliau telah berakhir dengan keputusan menolak beliau.
- Bahkan dengan majoriti yang sangat besar. Sebelum itu, dia dimalukan di Permatang Pauh.
Apakah perubahan itu?
Bagi saya, berubah dari persepsi buruk rakyat kepada yang baik di mata rakyat.
Apakah masalah paling besar kepada Umno di mata rakyat?
Bagi saya, amalan korupnya. Dari pemimpin tertinggi sehinggalah ke pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) dinilai sebagai korup.
Najib boleh berkata, apa yang dibuat Umno, iaitu mendapatkan Adun Pakatan adalah sama sahaja dengan apa yang cuba dibuat Pakatan pimpinan Anwar Ibrahim dari projek 16 September hinggalah penyertaan Datuk Nasarudin Hashim ke dalam PKR.
“Jika Pakatan buat boleh, bila Umno buat korup?” Najib boleh kata begitu.
Tetapi, jika dilihat kepada nature kes-kes itu jelas.
Misalnya kes Jamaludin Mat Radzi dan Osman Jailu.
Kedua-duanya sedang didakwa kerana rasuah. Menjelang beberapa hari sebelum kesnya disebut lagi untuk dibicarakan iaitu pada 10 Februari, kedua-duanya hilang.
Timbul semula hanya di Putrajaya dan mengiytiharkan keluar dari PKR menjadi calon bebas. Kemudian membuat pengakuan kepada Sultan Perak menyokong BN untuk membentuk kerajaan baru.
Saya yakin, jika Gerak masih lagi badan bebas, kumpulan NGO anak buah Ezam Mohd Noor ini akan membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).
Gerak akan mendakwa terdapat unsur-unsur rasuah yang jelas bagaimana Jamaludin dan Osman ini boleh menyokong BN hatta untuk menjatuhkan bekas kerajaannya.
Antaranya, jika didapati bersalah Jamaludin dan Osman akan hilang segala-galanya; jawatan Exco, Adun bahkan boleh dipenjarakan sehingga 20 tahun. Dari kehilangan semua ini, baik sokong BN.
Namun, kini Gerak tidak bergerak. Mereka sudah kenyang dengan isu 46 ekor lembu korban di Bandar Tun Razak sahaja.
Kesimpulannya, walaupun Umno dilihat menang dalam kes ini iaitu mendapat kerajaan Perak tetapi ia umpama pepatah Melayu sahaja, menang secumpak, rugi segantang.
Berjaya rampas negeri Perak tetapi besar kemungkinan akan hilang selama-lamanya di mata rakyat kerana Umno sememangnya gagal bahkan sememangnya tidak mahu berubah.
No comments:
Post a Comment