Read here for more
by
Ahmad Lutfi Othman
Memang berat ujian buat Nizar Jamaluddin. Bagaimanapun Menteri Besar Perak ini - yang dititah letak jawatan oleh Sultan Perak namun enggan berbuat demikian - yakin beliau berada di jalan yang benar.
Wajahnya tetap ceria dan berseri, cuba menyembunyikan rasa letih meniti hari yang padat. Matanya merah petanda tidak cukup tidur. Beberapa ayat awal surah ad-Dhuha menjadi rukun dalam mukadimah ucapannya, termasuk semasa wawancara eksklusif kami dengannya, juga ketika berpidato ringkas di depan Kuil Kallumaii Arul Subramaniar, Gunung Cheroh, Ipoh, pagi 8 Feb lalu.
Biarpun boleh dianggap pendatang baru dalam dunia politik, dan tiba-tiba dilantik menjadi Menteri Besar Perak, sesuatu yang tidak pernah termimpi oleh pimpinan Perak negeri itu, Nizar memang cepat belajar dan mudah menguasai persekitarannya.
Berdepan tuduhan menjadi boneka DAP, menjual kepentingan Melayu, diapit tujuh Exco bukan Islam, ditambah Speaker dan Timbalan Speaker juga bukan Islam, dengan tenang Nizar mengemudi bahtera Kerajaan Negeri Perak selama 11 bulan.
Justeru, tuduhan bahawa beliau kini seorang penderhaka bukan isu besar baginya.
Annuar Zaini Merosakan Hubungan Nizar dengan Istana Perak
Pada hari paling kritikal, 5 Feb, Nizar mengikuti satu program Koridor Utara di Bagan Serai bersama Perdana Menteri. Dalam ucapannya, Abdullah Ahmad Badawi langsung tidak menyebut nama Nizar walhal beliau masih seorang menteri besar. Esoknya, akhbar perdana turut "menggelapkan" kehadirannya di majlis berkenaan.
Difahamkan Ketua Pegawai Eksekutif Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara, Anuar Zaini yang sepatutnya berada bersama Abdullah sedang rancak "mengatur nasib" Nizar di Istana Kinta. Anuar dikatakan dalang yang cuba merosakkan hubungan baik Nizar dengan istana, dan menganggu pentadbiran kerajaan negeri. Nizar sendiri pernah memaklumkan hal itu kepada Raja Nazrin Shah, rakan karib Anuar.
Menurut laporan akhbar, Nizar secara tergesa-gesa meninggalkan majlis di Bagan Serai itu untuk menghadap Sultan. Jam 12.45 tengah hari, Nizar dilihat memasuki Istana Kinta dan keluar kira-kira 20 minit kemudian dengan mengangkat tangan menunjukkan isyarat bagus sambil berkata 'insya-Allah' kepada sekumpulan wartawan. Ramai menjangkakan baginda telah memperkenan permohonan Nizar untuk membubarkan Dun.
Rupanya tidak, isyarat bagus bagi Nizar adalah tanda beliau berpuas hati dapat menjelaskan semua yang terbuku di dadanya kepada Sultan. Nizar memberitahu kami, Sultan hanya diam tunduk mendengar hujahnya.
Kesulitan Tokoh Politik Dalam Konflik Dengan Istana
Selama ini, sejarah pendek negara kita menyaksikan bahawa tiada tokoh politik yang "selamat" jika bertembung dengan pihak istana. Konflik dengan istana rasanya tidak pernah dimenangi oleh orang politik.
Justeru, apakah kita boleh bayangkan bagaimana episod ini bakal berakhir? Ternyata Nizar sendiri sukar meramalkannya, namun membayangkan ia dapat membawa kesan positif akhirnya buat rakyat dan negara. Beliau mohon kami mengulas krisis di Perak itu dari sudut yang jarang terfikir oleh orang lain. Saya sendiri agak termangu mendengarnya.
Sultan Tiada Kuasa Menitah Letakan Jawatan
Memang Nizar di pihak yang benar. Sultan tiada kuasa untuk menitahkannya meletakkan jawatan. Di bawah sistem Raja Berperlembagaan, Sultan juga harus tunduk dengan undang-undang dan peraturan.
Baginda tidak boleh masuk campur sewenang-wenangnya dalam pemerintahan negeri. Dalam situasi genting di Perak apabila BN dan Pakatan Rakyat mempunyai jumlah kerusi yang sama, dan tiga kerusi penentu wakil Bebas sedang dirujuk ke mahkamah, baginda sewajarnya memenuhi permohonan untuk membubarkan Dun.
Ia langkah paling adil untuk semua pihak dan tidak dilihat memihak kepada mana-mana parti. Jika dirasakan Nizar sudah tidak mendapat kepercayaan majoriti Adun, baginda boleh menolak permohonan Menteri Besar itu dan membiarkan sahaja sidang Dun memutuskan undi tidak percaya kepada Nizar.
Langkah baginda melantik menteri besar baru telah mengeruhkan lagi suasana dan langsung tidak membantu untuk memulihkan keadaan.
Nizar Menawan Hati Rakyat Pelbagai Kaum
Memerhatikan dari dekat semasa beliau melawat tapak perayaan Thaipusam di Gunung Cheroh, saya yakin Nizar berjaya menawan hati rakyat Perak dari pelbagai kaum dan agama itu.
Wajah orang ramai yang bersalaman dengannya, termasuk anak-anak kecil yang belum bersekolah, begitu ceria dan nampak senang sekali. Mereka bersorak gembira memanggil namanya sambil melambai-lambaikan tangan.
Malah ketika Anwar Ibrahim mengumumkan pada majlis ceramah perdana di kediaman rasmi menteri besar, saya dapat mengesan reaksi pantas hadirin dari masyarakat Tionghua.
Semasa Anwar menegaskan bahawa jika berlaku pilihan raya negeri dan Pakatan menang, tiada calon yang akan dipilih menjadi menteri besar melainkan Nizar, beberapa anak muda Cina bertepuk sepuas hati. Mereka betul-betul gembira tidak terkata!
No comments:
Post a Comment