by
Mohamed Hanipa Maidin
Quote
Namun jika Baginda mahu keadaan Perak kembali aman dan damai maka Baginda tidak mempunyai pilihan kecuali membubarkan Dewan.
Kalau Baginda mahu terus melihat keadaan di Perak semakin terus lintang-pukang dan haru-biru, Baginda boleh mengekalkan sahaja keputusan Baginda.
- Mohamed Hanipa Maidin
Melihat kepada apa yang berlaku di Perak pada masa ini kita boleh menyimpulkan begini:
Segalanya lintang-pukang dan haru-biru apabila Sultan Perak enggan membubarkan Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak meskipun diminta oleh Menteri Besar, Dato Seri Ir Mohamad Nizar Jamaluddin di bawah Perkara 16(6) Perlembagaan Negeri Perak.Dari situ berlakulah siri lintang-pukang yang sekaligus memalukan bukan sahaja rakyat Perak tetapi juga nama Malaysia di pandangan dunia.
Apabila Speaker dan para Adun Pakatan terpaksa mengadakan sidang Dun tergempar di bawah pokok, kita teringat apa yang berlaku kepada Kerajaan Pasola di dalam filem Laksamana Do Re Mi arahan P.Ramlee.
Yang lebih lucu lagi Penasihat Undang-Undang Negeri Perak mahu mewakili Zambry dalam kes yang difailkan oleh Nizar, tetapi di dalam kes yang difailkan oleh Umno ke atas Speaker, V. Sivakumar (kerana Speaker melarang Zambry masuk Dun selama 18 bulan) Mahkamah Tinggi Ipoh pula mengarahkan V. Sivakumar diwakili oleh Penasihat Undang-Undang Perak.
Ini bukan lagi haru biru tapi dah berbelit dan tersimpul!
Untuk berlaku adil kepada Sultan Perak, tidak boleh dinafikan baginda mempunyai budi bicara untuk enggan membubarkan Dun meskipun diminta secara munasabah oleh MB Perak.
Namun istilah 'budi bicara' di dalam konteks undang-undang TIDAK pernah ditafsirkan sebagai budi bicara MUTLAK (absolute discretion).
Budibicara seperti mana yang diterima oleh prinsip undang-undang dan amalan demokrasi hendaklah dilaksanakan secara wajar dan adil.
Sultan Perak pun sendiri mengakui bahawa TIDAK wujud apa yang dinamakan budi bicara mutlak kerana pernah di dalam satu kes yang beliau putuskan semasa menjadi hakim iaitu kes Pengarah Tanah dan Galian, Wilayah Persekutuan v Sri Lempah Enterprise Sdn Bhd (1979) 1 MLJ 135 menyatakan seperti berikut:
Kata-kata di atas adalah satu kata-kata yang menakjubkan selagi mana roh kata-kata itu diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan."Setiap kuasa di sisi undang-undang mesti mempunyai had dan batasannya di sisi undang-undang. Dengan lain perkataan setiap budi bicara tidak boleh bebas dari had dan batasan undang-undang.
Kalau sekiranya budi bicara salah digunakan adalah menjadi tugas Mahkamah untuk campurtangan. Mahkamah sahajalah satu-satunya pembela kepada kebebasan rakyat di atas mana-mana salah laku dan kerakusan kuasa jabatan.
Budi bicara yang tidak dikawal adalah satu istilah yang mengandungi percanggahan. Kuasa cenderung untuk merosakkan. Kuasa yang mutlak akan rosak juga secara mutlak."
Rakyat negara ini menerima institusi Raja sebagai satu institusi yang dihormati. Raja adalah lambang kestabilan.
Dalam konteks sejarah negara ini, memang tiada siapa boleh menafikan institusi Raja adalah suatu kesinambungan dari satu sejarah yang amat panjang.
Atas dasar itu peruntukan mengenai institusi Raja diterima sebagai salah satu "indigenous elements" (elemen-elemen tradisi) yang dimasukkan di dalam Perlembagaan sama ada Perlembagaan Persekutuan atau pun Perlembagaan Negeri-negeri di Malaysia.
Bagaimanapun dalam masa yang sama semua orang juga mengakui (termasuk para sultan di negara ini) bahawa Malaysia mengamalkan institusi Raja Berperlembagaan (Constitutional Monarchy) bukannya institusi Raja Yang Berkuasa Mutlak (Absolute Monarchy).
Tidak dinafikan secara relatifnya Raja Berperlembagaan adalah jauh lebik dari Raja Berkuasa Mutlak. Namun dalam masa yang sama salah memahami konsep Raja Berperlembagaan boleh mewujudkan 'constitutional anarchy' (hura-hara Perlembagaan).
Bagi mereka yang mempelajari undang-undang Perlembagaan, mereka pasti mahir dengan istilah 'convention' (amalan). Secara mudahnya 'convention' di dalam konteks Undang-Undang Perlembagaan bermaksud amalan-amalan yang telah diterima pakai sebagai salah satu kaedah untuk menafsirkan peruntukan Perlembagaan.
Menurut Geofrrey Marshall, 'conventions' adalah apa yang kita namakan sebagi satu akhlak positif Perlembagaan (positive morality of the Constitution). 'Conventions' menurut sarjana tersebut adalah satu peraturan yang mana para aktor politik wajib mematuhinya.
Di dalam konteks apa yang berlaku di Perak, apakah 'convention' yang patut dipatuhi oleh Sultan apabila MB Perak meminta baginda membubarkan Dun Perak?
Jawapannya 'convention' yang terpakai adalah Sultan dengan penuh hormat, sewajarnya membubarkan Dun apabila dengan secara munasabah diminta berbuat demikian oleh MB Perak iaitu Dato Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.
Philip T.N Koh, salah seorang peguam Perlembagaan di dalam tulisannya "Constitutional conundrums and conventions" (The Edge, 23 Feb 2009 di m/s 55) menyatakan seperti berikut:
Kini segalanya kembali semula kepada Sultan."Adalah berfaedah untuk dicatatkan di sini berdasarkan amalan-amalan di negara Komanwel boleh dikatakan tidak pernah berlaku keadaan di mana Gabenor (di Malaysia Sultan) menolak mana-mana permintaan yang munasabah (untuk membubarkan dewan) oleh Menteri Besar.
Di United Kingdom, kini telah diterima dan diakui meskipun keistimewaan diberikan kepada Raja untuk membubar Parlimen namun perlaksanaannya bergantung, dalam keadaan biasa bergantung kepada perkiraan dan keputusan Perdana Menteri."
Kalau baginda mahu terus melihat keadaan di Perak semakin terus lintang-pukang dan haru-biru, baginda boleh mengekalkan sahaja keputusan baginda.
Namun jika baginda mahu keadaan Perak kembali aman dan damai maka baginda tidak mempunyai pilihan kecuali membubarkan Dewan.
Dalam hal ini pilihan KEDUA nampaknya satu kemestian.
No comments:
Post a Comment