" Jangan Biarkan Beng Hock Mati Sia-sia"
Read here article in CENTER for POLICY INITIATIVES
Artikel berikut diterjemah oleh Centre for Policy Initiatives daripada artikel bahasa Inggeris oleh peguam Art Harun
Baca di SINI : Rencana Zainul Ariffin Isa yang berkenaan dalam BERITA HARIAN bertajuk, "Kematian Teoh timbulkan pelbagai spekulasi politik "Sedikit muak dan patah akal saya tadi tatkala membaca rencana anda berjudul 'Kematian Teoh timbulkan pelbagai spekulasi politik' [yang diterbitkan di suratkhabar Berita Minggu] kemarin.
Penyiaran rencana yang rasis dan membatu api itu adalah ukuran kebobrokan nilai moral kamu (akhbar yang indah khabar dari rupa). Dalam laman sesawangmu, digembar-gemburkan Berita Harian sebagai "akhbar yang dapat merangsang minda dalam mengejar arus maklumat yang mana pengetahuan adalah sumber utama untuk kemakmuran ekonomi".
Namun pemerhatian saya ialah: Disiarkan olehmu sepiak lidah pengarang yang terang-terang benyot.
Akan tetapi mengakui yang bahtera Berita Harian seangkatan dengan kapal NST, saya kira kedangkalan pemikiran penulis [iaitu pengarang kumpulan NSTP] tidaklah menghairankan sangat. Sebaliknya, pengutaraan media arus perdana – yang mahu menghasut – sudah memang dijangkakan.
Pertama sekali, para pembaca terhutang budi kerana sekarang ini barulah kami disedarkan bahawa kecelakaan yang menimpa Teoh itu satu "peristiwa malang". Kamu berkata, dan saya petik:
"Apabila mangsa kemalangan pula orang bukan Melayu, yang sebelumnya disiasat orang Melayu, bertambah hebatlah spekulasinya. "Saya mengucapkan terima kasih atas penjelasan anda sebab sebelum ini, kami diberitahu entah-entah Teoh cuba membunuh diri.
Rasanya kami kurang tahu-menahu babak sebalik tabir manakala kamu lebih arif. Maklumlah, pada lazimnya pembaca mudah diperdaya. Betul, saya bersyukur sampailah ke akhir hayat (minta maaf sekirannya saya sedikit sinis) kerana anda menerangkan dan mencopkan kejadian tersebut sebagai satu 'kemalangan'.
Baiklah, saya tunggu penjelasan anda mengenai bagaimana kemalangan itu sebenarnya terjadi, siapa yang terlibat dan mengapa ianya berlaku? Apakah mendiang berjalan dalam tidur ketika ia dikatakan berehat di atas sofa pada jam 6:30 pagi?
Anda tampaknya kurang puas hati bilamana perkembangan semasa ekoran kematian Teoh telah dipolitikkan. Anda juga berpendapat tidak harus orang menggunakan peristiwa tersebut untuk mengaut keuntungan politik.
Walaupun saya akur saudara seorang wartawan yang tajam deria penglihatan, namun saya terpaksa nyatakan di sini bahawa huraian kamu kurang teliti.
Izinkan saya membidas hujah anda bahawa perkara ini tidak sepatutnya berbau politik. Dan saya akan menaip huruf besar demi memberi penekanan kepada pesanan saya. INI SEMEMANGNYA PERKARA POLITIK.
Mendiang merupakan setiausaha politik kepada seorang wakil DAP. Kalau DAP bukan parti politik, apa agaknya? Lebih-lebih lagi, bos Allahyarham adalah seorang ahli dewan undangan negeri Selangor.
Jadi, pada pucuk pangkalnya, rentetan peristiwa kematian Teoh berciri politik dan pasti ia akan terus berciri persoalan politik sehinggalah ke penghujungnya. Anda tidak bisa lari dari hakikat ini.
Saudara membahas seakan-akan tidak ada pihak lain yang pernah mengaitkan politik dengan hal-hal masa lalu (yang tidak ada kena-mengena dengan politik). Bukankah pemilik akhbar Berita Harian, iaitu kumpulan media NSTP, bermain politik apabila memperalatkan institusi raja sebagai 'gimik politik' di Bukit Gantang?
Bagaimana pula dengan Datuk Seri Anwar Ibrahim yang diintip kehidupan peribadinya? Sejak bilakah perilaku seseorang itu di dalam kamar tidur atau aksinya di atas ranjang [dengan bukti tilam sekali] dijadikan modal politik?
Adakah tindakan membeli lembu untuk disedekahkan kepada golongan miskin pada Hari Raya Aidil Adha satu bibit politik? Dan lembu korban pula kini berunsur politik? Bagaimana dengan seruan supaya ISA dimansuhkan? Bahkan ada yang berkata ISA satu 'hak Melayu'!
Tolong jangan mengganggap bahawa para pembaca kamu umpama budak setahun jagung. Kami celik mata dan tidak akan tercengang-cengang bila didendangkan cerita dongeng.Kami bukan bodoh.
Seterusnya ini yang ingin saya sebutkan. Mengapa anda banyak melatah kononnya kejadian 'malang' itu telah dipolitikkan dan dijana sebagai modal politik apabila ketara sekali – kalaulah mendiang Teoh masih hidup masakan ada sesiapa yang akan buat kerenah?
Amat dikesali bahawa badan-badan kerajaan semacam bebas mengasari seseorang dari khalayak ramai yang ibarat boleh diperlakukan bagai hampas kelapa. Tanahair kita sudah menjadi suatu 'gangland', di mana orang preman dicengkami ketakutan. Di dalam kegelapan malam, terkejutlah kita pada bengkarung.
Inikan tahun 2009, abad ke-21? Adakah dalam kurun ini masih boleh seorang jejaka itu begitu enteng ditimpa 'malang' (saya mengulangi perkataan pilihanmu) dan kemudiannya mati katak?
Kenapakah anda tidak membela nasib si malang? Maklumlah anda cukup berbangga dengan menggelar diri sebuah akhbar yang mampu 'merangsang minda'. Apa yang kamu cakap? Adakah anda mengajak kalian merenung secara kritis ataupun setakat membarakan semangat? Apakah anda tahu perbedaannya?
Apa yang paling menjijikkan saya ialah percubaan akhbar Berita Harian untuk mengalih debat kepada isu anti-kepemimpinan Melayu. Meskipun anda seolah-olah cacing kepanasan apabila kematian Teoh Beng Hock berubah menjadi masalah politik, anda sekarang ini hendak menjadikannya isu ras. Anda hanya menangguk di air keruh.
Ya, mendiang orang Cina. Namun begitu, yang menonjol ialah beliau seorang warga Malaysia. Setiap satu kematian dalam tahanan, tanpa memandang suku-sakat atau kepercayaan agama, berupa sebuah tragedi.
Bagi kami, ianya cukup tragis. A. Kugan, seorang pemuda India juga meninggal dunia sewaktu di bawah jagaan polis; tubuh badan beliau menunjukkan kesan-kesan luka yang menyayat hati bilamana mata memandang. Setiap kerat masyarakat mengecam penderaan yang dikerjakan ke atasnya.
Segenap lapisan masyarakat kita inginkan jalan kebenaran. Ketika Nurin Jazlin Jazimin dan Sharlinie Mohd Nashar diculik, seluruh Malaysia naik memberang – orang Cina dan India tidak terkecuali.
Kami bukan terkilan kerana mangsa adalah orang India, Cina atau Melayu; tetapi mungkin anda terlalu sempit pemikiran untuk mengetahui ketetapan ini.
Yang menimbulkan amarah ialah kejadian mangsa dikejami dan yang melakukan perbuatan durjana itu manusia bersifat binatang.
Itulah sebabnya seluruh Malaysia tersangat berat hati. Adakah anda berfikir hanya orang kulit hitam Amerika sahaja yang berkabung ekoran pemergian Michael Jackson? Ataupun anda masih terperuk dalam bekas '1Ras' dan tidak menyedarinya?
Sejak bilakah protes terhadap SPRM bertukar menjadi soal bukan-Melayu mencabar kewibawaan Melayu?
Pertanyaan anda:
"Kenapa Menteri Besar Selangor, seorang Melayu, meragui kebolehan orang sebangsanya bertindak dengan tulus dan adil?"Apa ni? Tak masuk akal langsung. Kamulah yang mengungkit yang bukan-bukan.
Anda mengandaikan bahawa MB Selangor meragui ketulusan pegawai SPRM yang berbangsa Melayu walhal kami semua, termasuklah para politikus pihak pembangkang (yang dilemparkan segala tohmahan oleh kamu) tidak pun pernah membuat teka-teki yang pegawai-pegawai terlibat itu berketurunan Melayu.
Tidak diketahui identiti mereka, apalagi kepastian mereka Melayu. Astaghfirullah! Anda sekadar cuba membayangkan bahawa kaum Melayu senantiasa dikepung serta diancam pelbagai musuh. Tunjuk belang, ya?
Jika anda masih lagi kekaburan, biar saya menjernihkan kekalutanmu.
Kami tidak kisah tentang RAS orang yang bertanggungjawab atas kematian Teoh (kalaulah ada yang bersalah yang wajib dipertanggungjawabkan). Orangramai akan tetap marah sekalipun pegawai yang terbabit itu seorang warga Ghana yang bertugas dengan SPRM! Faham ke?
Saya dok kecewa. Semalam Perdana Menteri dengan penuh prihatin telah mengata dirinya begitu silu mengenangkan bagaimana seorang jejaka itu telah diragut nyawanya. Bahkan beliau mengirimkan ucapan takziah serta menghantar setiausaha politiknya untuk menziarahi keluarga mendiang.
Timbalan Perdana Menteri kita pula tidak menolak cadangan ditubuhkan suruhanjaya diraja untuk menyiasat serta mengesahkan apa sebenarnya yang berlaku. Datuk Hishammuddin Hussein memberi jaminan dia sendiri akan mengawasi proses penyiasatan kes ini. Suhakam juga berhasrat memulakan siasatan.
Hasil daripada semua janji-janji di atas belum boleh ditentukan. Tetapi saya yakin kesemua mereka ikhlas dan mempunyai niat suci. Saya menyenangi pendekatan mereka yang sarat dengan sifat berperikemanusiaan. Ianya menunjukkan bahawa setidak-tidaknya PM, DPM dan Menteri Dalam Negeri kita ada juga berhati perut.
Tetapi sebaliknya anda, akhbar Berita Harian dengan penerbitan rencanamu yang bejat itu, seperti seekor serigala berbulu domba lagaknya.
Cukuplah tu. Jangan kerana nila setitik, rosak susu sebelanga!
Art Harun ialah kolumnis bagi Centre for Policy Initiatives. Rencananya yang bertajuk asal 'Macdeth Act II — an open letter to Berita Harian' boleh dibaca di blognya 'ARTiculations'.
1 comment:
Saya setuju. Artikel yang bagus. Saya turut bersedih. Peristiwa ini memang peristiwa hitam di sejarah negara kesayangan ini.
Post a Comment