Read here for more
by
Azmi Anuar
Perdana Menteri Najib Razak mahu membantu Amerika Syarikat menangani Islamophobia supaya masyarakat di sana lebih memahami Islam dan menghapuskan persepsi negatif terhadap agama itu.
Apabila direnungkan, mungkin matlamat pertama itu telahpun tercapai tanpa apa-apa bantuan dari pihak kerajaan Malaysia.
Rakyat Amerika Syarikat boleh membaca dan melihat berita setiap hari bagaimana setengah-setengah penganut Islam di Malaysia menjiwai agama mereka.
Contoh paling menonjol ialah bantahan terhadap pembinaan rumah ibadat agama lain dengan membawa kepala lembu sebagai tanda protes. Terhapuskah persepsi negatif tentang agama Islam dengan tindakan penganut-penganutnya yang sebegitu rupa?
Acap kali apabila ada ura-ura untuk mendirikan rumah ibadat agama lain, terdengarlah bantahan yang berapi-api menidakkan hak penganut bukan Islam. Laungan membantah kedengaran lebih hebat apabila cadangan seperti itu muncul di kawasan yang mempunyai majoriti penduduk beragama Islam.
Apalah salah penganut bukan Islam? Memang benar, mereka mungkin hanya minoriti di sesuatu kawasan, tetapi itu bukan alasan atau sebab untuk membantah sedemikian rupa.
Penganut agama Islam yang bermastautin di sesuatu tempat mungkin atau benar-benar amat bimbang akan pengaruh agama lain jika dibiarkan mula bertapak di persekitaran mereka. Bukankah ini perasaan sama yang diluahkan oleh seorang paderi di Florida, Amerika Syarikat yang mahu membakar Al-Quran?
Perasaan bimbang ini juga muncul di kalangan penganut-penganut bukan Islam ketika cadangan membina Pusat Islam berhampiran bekas tapak [serangan 9/11] World Trade Centre di New York.
Nasib baiklah, penduduk Amerika Syarikat lebih berpandangan luas dan menerima segala bentuk dan ragam rakyatnya. Tentu sekali TIDAK di Malaysia.
Tanggungjawab Muslimat berkeluarga
Satu demi satu peristiwa yang melibatkan penganut agama Islam dan yang bukan Islam berkesudahan dengan air mata dan hati yang luka, berkecamuk. Manakan tidak, anak sendiri yang belum mengerti apa-apa sewenang-wenang diIslamkan.
Percanggahan yang tidak punya penamat kerana pemerintah tidak mempunyai iltizam dan tidak bersungguh-sungguh mahu menyelesaikannya secepat mungkin.
Bukankah keluarga bahagia asas sesebuah negara? Kalau suami isteri tidak dapat hidup bersama lagi, perlukah anak-anak menjadi korban?
Anak-anak juga menjadi mangsa di kalangan penganut agama Islam apabila ramai bapa yang mengabaikan tanggung-jawab mereka setelah perceraian disahkan. Walau bagaimana benci atau marah terhadap bekas isteri, tanggungjawab sebagai seorang bapa tidak akan luput sehinggalah anak-anak itu dewasa dan boleh berdikari.
Realitinya amat menyedihkan dan sentiasa menyakitkan hati. Turun naik mahkamah syariah tidak mendatangkan hasil yang diharapkan, arahan potongan gaji amat sukar dilaksanakan, mencari bapa yang lari entah ke mana besar kemungkinan hanya usaha sia-sia dan si ibu jugalah yang terpaksa bertungkus-lumus membesarkan sendiri anak-anak.
Adakah ini salah satu persepsi positif Islam yang hendak ditonjolkan ke khalayak dunia?
Dunia sudah tahu, dan Malaysia contoh terbaik bahawa, keluarga TIDAK mendapat keutamaan. Bertentangan sama sekali dengan ajaran agama Islam yang tulen.
Apabila mayat yang terkujur, orang tersayang yang telah meninggalkan dunia ini, dirampas dan dikuburkan mengikut aturan agama lain walaupun tidak ada tanda-tanda yang menunjukkan bahawa semasa hayatnya dia telah menganut agama Islam, tentu sekali seribu satu soalan muncul.
Pihak pemerintah berkata proses mendaftarkan penganut agama lain yang memeluk agama Islam akan diperlicinkan supaya peristiwa rampas-merampas mayat tidak berlaku pada masa hadapan. Setakat ini belum ada tanda-tanda konkrit bahawa apa yang dikatakan itu telah terlaksana. Sementara menunggu proses birokrasi ini mencapai penghujungnya, apalah nasib keluarga lain yang mungkin menghadapi masalah yang sama?
Inilah keadaan semasa di Malaysia, negara "Islam" yang mahu membantu Amerika Syarikat menangani Islamophobia.
Memang Amerika Syarikat tidak sempurna tetapi sekurang-kurangnya di sana ada ruang untuk suara-suara lain memberikan pandangan.
Memang ada yang ekstremis tetapi secara keseluruhan golongan majoriti mempunyai pandangan yang sederhana, tidak keberatan memberi peluang kepada golongan minoriti.
Jiwa Islam yang tulen
Sejarah Amerika Syarikat sendiri memperlihatkan detik-detik bantahan dan bangkangan terhadap apa juga golongan yang tidak menurut norma golongan majoriti. Golongan minoriti menyesuaikan diri supaya masih boleh mengamalkan kepercayaan dan tradisi mereka dan pada masa yang sama tidak bertentangan pula dengan jiwa negara tersebut.
Inilah yang telah hilang dari proses pengIslaman jentera pentadbiran dan birokrasi negara. Jiwa Islam yang sebenarnya, yang perlu ditonjolkan semula ke mata semua. Bukankah ayat pertama dalam Al-Quran ialah 'Iqra' (Bacalah)?
Bukan menghafal Al-Quran, atau membaca dengan tajwid dan lagu yang betul sahaja tetapi membaca dengan kritis, menyoal, berdebat, merumuskan dan mencapai sesuatu untuk kebaikan semua.
Bukan sahaja untuk umat Islam tetapi untuk semua.
Lihat sahajalah perdebatan tentang sama ada orang bukan Islam boleh masuk ke dalam masjid. Bagaimana orang bukan Islam hendak lebih rapat dan mempunyai persepsi positif tentang Islam jika mereka dilarang mendekati rumah ibadat, tempat berkumpul orang Islam.
Takut, bimbang?
Perasaan takut dan bimbang sentiasa dicanangkan sebagai jawapan terhadap pelbagai soalan yang membabitkan penganut bukan Islam. Takut dan bimbang, yang bukan Islam mempermainkan atau mempersendakan agama Islam.
Kalau benar begitu, menjadi tanggungjawab penganut agama Islam itu pula untuk memberi penjelasan kepada yang bukan Islam. Bukan dengan menghalang tetapi menerima dengan hati terbuka bahawa yang bukan beragama Islam mahu lebih rapat, memahami apa ada di sebalik nama Islam itu.
Penganut agama Islam di negara ini sendiri kadang-kadang terlampau cetek pengetahuan mereka tentang agama-agama lain yang dianuti oleh rakan-rakan mereka. Contoh termudah ialah larangan memakan daging lembu yang diamalkan oleh penganut agama Hindu.
Sering terjadi hidangan yang disajikan oleh penganut agama Islam untuk rakan-rakan mereka tidak mengambil kira larangan agama ini dan terkotai-kotailah sekumpulan rakan-rakan beragama Hindu tanpa makanan yang sesuai.
Ada ketika mungkin mereka bernasib baik juga jika dapat menjamah kuih-muih, buah-buahan atau makanan ringan yang lain sebagai pengganti.
Malaysia membantu Amerika Syarikat menangani Islamophobia? Hentikanlah. Bereskan rumah sendiri dulu.
No comments:
Post a Comment