Friday, 14 August 2009

MELAYU.. OH... MELAYU !

by

Muhammad Afiq

Excerpts: Read here for more on "Afiqmnoor" Blog
  1. Saya sebenarnya sudah malas hendak mengulas tentang 'hak-hak istimewa orang Melayu' dan kedudukan 'istimewa Raja-Raja Melayu' yang sering diteriakkan kesana-sini sekarang ini.

    • Terbaru peristiwa seorang ahli politik dari Pulau Pinang didakwa menghina kedudukan agama Islam,

    • Pergesaran dikalangan exco kerajaan negeri Selangor berhubung dengan isu penjualan arak dan

    • Isu Anwar yang dicop sebagai 'pengkhianat'.

  2. Terbaru saranan dari Menteri Besar Perak Datuk Dr. Zambry Abdul Kadir agar orang yang mempertikaikan hak-hak istimewa orang Melayu dan kedudukan Raja-Raja Melayu dilucutkan kerakyatan negara ini. Kenyataan ini begitu menggangu ketenangan hidup saya.

    Tentu kita masih ingat peristiwa 'Negaraku-ku' oleh Namewee. Waktu itu pun kecoh para ultra-Melayu ini sibuk menyayikan lagu yang sama. Lucutkan kewarganegaraannya.

  3. Saya antara orang yang menyokong agar hak keistimewaan orang Melayu dimansuhkan.

    Bukan kerana tidak sayang dengan bangsa sendiri.
    Saya juga orang Melayu sama seperti anda.

    Tapi cuba kita lihat, selama lebih dari 50 tahun kita merdeka dari penjajah:

    • Apakah kemajuan orang Melayu?

    • Berapa ramai orang Melayu yang masuk ke universiti hasil dari kecemerlangan akademik mereka dan bukan kerana kouta yang diperuntukkan?

    • Berapa ramai para usahawan Melayu yang boleh maju sendiri tanpa belas ihsan subsidi daripada kerajaan?

    Saya tidak nafikan ada. Tapi sangat sedikit.

  4. Apakah orang Melayu akan terus hidup dengan bantuan-bantuan ini sampai bila-bila pun? Kalau tidak ada bantuan seumpama ini.

    Bagaimanakah keadaan kita orang Melayu? Kita tidak mampu bersaing.

    Seorang perenang yang hebat bukanlah bergantung kepada pelampung yang dibekalkan kepadanya. Pelampung itu hanya langkah permulaan dia belajar mengenal bagaimana ingin berenang. Jika dia ingin menang dalam pertandingan dia harus belajar teknik berenang yang betul.

    Berusaha dan praktis sebaik mungkin. Begitulah kita.

    Orang Melayu bangsaku ini tidak akan maju dengan keistimewaan yang diberi. Kita mesti maju kerana diri kita sendiri.

  5. Ilmu lah yang menjadikan kita bernilai dan berharga tinggi. Campaklah kita kemana sahaja, kita mampu bersaing dan menjadi yang terbaik. Bukan hak keistimewaan yang kita dapat. Bak kata pepatah:
    " Benih yang baik walau dicampak kelaut ia kan menjadi pulau."
    Kalau kita jadi yang terbaik, bukan setakat saudara kita kaum Cina dan India akan menghormati kita.

    Malah dunia juga akan memandang tinggi dengan kemampuan kita. Dengan syarat kita mesti jadi yang terbaik. Benarkan persaingan yang sihat.

  6. Lihat sahaja bangsa Cina, walau tidak diberikan hak keistimewaan seperti kita, kenapa mereka senantiasa boleh maju lebih daripada kita?

    Sebabnya bukan hak istimewa yang menjadikan sesebuah bangsa itu maju dan terkehadapan tapi sikap rajin berusaha dan bersungguh-sungguh. Tidak mustahil kalau kita orang Melayu berusaha seperti mereka atau lebih lagi kita setanding dengan mereka malah mungkin lebih baik lagi.

  7. Saya juga melihat satu sikap orang Melayu yang sangat buruk, iaitu mereka begitu racist dengan kaum lain.

    Sering kita dengarkan ungkapan:
    "Mereka itu pendatang, ini tanah datuk nenek moyang kita".
    Baik dikalangan rakyat kebanyakan mahupun pemimpin kita.

    Namun satu benda yang kita lupa, keturunan, bangsa, jantina dan perbezaan lain ialah satu anugerah daripada Allah s.w.t untuk makhluknya.

    Saya tidak memilih untuk menjadi Melayu. Tony juga tidak memilih untuk menjadi India begitu juga Keong, dia tidak pernah sangka yang dia akan dilahirkan sebagai seorang Cina.

    • Ini semua kerja Dia.

    • Dia yang mengatur tadbir urusan alam ini.

    • Dia yang menentukan rezeki dan hidup matinya seseorang.

    • Dan Dia juga telah mengingatkan kita dalam firmannya:
      Wahai manusia, telah Aku jadikan kamu dari kalangan lelaki dan perempuan juga berbangsa-bangsa dan bersuku-suku tidak lain agar kamu saling kenal mengenal antara satu sama lain. Dan sesungguhnya yang paling baik antara kamu ialah yang paling tinggi taqwanya.
  8. Tidak ada bezanya Melayu, Cina, India, Arab, Parsi dan lainnya pada pandangan Allah s.w.t. Apakah kita lebih baik dari Allah dalam menilai manusia?

  9. Saya tidak menafikan, ada sebahagian kaum Cina juga begitu racist dan taksub pada kaummnya sahaja, begitu juga India, Arab, Eropah.

    Carilah dimana-mana penjuru dunia pun kita pasti akan berjumpa. Bak kata pepatah:
    Dalam setandan pisang tak semuanya baik.
    Namun adakah kita harus meniru dan mengikut jejak langkah mereka yang buruk itu? Jika kita ingin jadi yang terbaik, kita mesti mengambil langkah yang terbaik.

  10. Allah juga mengingatkan kita di dalam Al Quran:
    Berlaku adillah, kerana adil itu dekat dengan taqwa.
    Soalan saya, apakah hak- hak keistimewaan kita selama ini adil? Adil dengan kaum lain yang sama-sama menumpang di bumi Tuhan ini?

    Bayangkan ada dua orang kontraktor, seorang Melayu dan seorang lagi India, kedua duanya memohon kontrak/ tender dari kerajaan. Yang Melayu berpengalaman dan baik mutu kerjanya. Yang India juga berpengalaman tetapi lebih baik kualiti dan mutu kerjanya daripada Melayu tadi.

    Tetapi oleh kerana dalam kerajaan ada peruntukan khusus kouta untuk orang Melayu. Kontraktor India ini terlepas peluangnya, walaupun kita maklum dia lebih bagus.

    Fikirkan begini, apakah jawapan yang bakal kita sediakan kelak apabila berhadapan dengan Pencipta kita di perhitungan abadi nanti? Ya Allah, itu sebab kouta bumiputra wahai tuhan. Apakah ini jawapan kita?

  11. Janganlah kita terlalu seronok dan berbangga dengan bangsa dan keturunan kita. Sehingga tidak boleh ditegur oleh sesiapa pun.

    • Apakah kita selama ini maksum dari kesalahan?

    • Apakah orang Melayu tidak pernah berbuat salah?

    • Apakah hakim-hakim kita senantiasa betul penghakimannya?

    • Apakah kita langsung tidak boleh ditegur kerana ada gelaran YM atau DYMM dihadapan nama kita?

    Nabi s.a.w mengingatkan kita bahawa kita pasti akan berbuat salah dan orang yang paling baik ialah mereka yang menyesal dengan kesilapannya (taubat).

    Saya juga ada membuat kesilapan, menteri-menteri kita juga tak lepas dari kesilapan, para ulama bahkan para imam-imam yang lebih dahulu kita juga pernah berbuat kesilapan.

    Maka apabila ditegur akan kesilapan kita, tidak bolehkah kita mengaku kesilapan itu dan memohon kemaafan. Maaf tidak pernah menjatuhkan martabat manusia atau menurunkannya daripada takhta.

    Nabi juga pernah memohon maaf. Adakah kita lebih baik daripada baginda?

    Fikir fikirkanlah.


3 comments:

happlyland said...

Inilah yang dikatakan Malaysia Boleh dan Melayu yang dihormati.
Syabas,dan doakan saudara Afiq akan menjadi peminpin utama di Malaysia.

IPOHKIA said...

Mohamad Afiq,
This is a true Malaysian and will be a rakyat that all Malaysian will respect irespective whether he is a Malay, Chinese, India, Kadazan, Iban or others.
The success of other races are due to the limited quotas given to them, that have initiated the drives for success.
What Mohamad Afiq says is 100% correct and agree with his vision, I believe Malaysia will be a very harmonious country to live in.
Syabas Mohamad Afiq, well written and said, as a chinese who comes from a pure Malay school and live in a kampung with Malays and I understand them too well, like the Malays in S'pore, they have to fight hard to survive despite they are minority, on a flight back to Penang, this Malay Man from S'pore told me the same thing as what Mohamad Afiq says.
So PM & TPM stop all those racist approach and make your 1 Malaysia work, otherwise come PRU 13, you will be the shortest PM in Malaysian history

prastanta said...

saya melayu dan saya sokong saudara Afiq :)