Sunday, 16 March 2008

YB Mr. Lim Kit Siang Clarifies: Interview with Mingguan Malaysia

From Malaysian Bar Council website: Read here


Photobucket
MINGGUAN:
Sejarah menunjukkan DAP keluar dari Barisan Alternatif (BA) kerana Pas dan hari ini, Pas menjadi masalah kepada DAP di Perak. Apakah ini takdir atau sumpahan hubungan DAP dan Pas?
KIT SIANG:
Jika diimbas sejarah hubungan DAP dan Pas, ia bermula selepas pemecatan Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan kedua-dua parti bekerjasama atas objektif yang sama dengan melancarkan manifesto untuk menjadikan Malaysia negara yang adil, demokratik dan bersih.

Dalam tempoh itu, isu negara Islam tidak menjadi hal kerana ia bukan objektif jalinan kerjasama antara semua parti pembangkang.

Malangnya, selepas pilihan raya 1999, Pas yang memenangi 27 kerusi Parlimen bertindak agresif menekankan pelaksanaan negara Islam dan hukum hudud, menyebabkan DAP tidak tahan.

Memandangkan DAP gagal mengubah Pas dan tiada sokongan parti lain, DAP keluar BA dan sejak itu, DAP dan Pas tiada hubungan kecuali melibatkan isu-isu semasa antaranya anti-ISA, bersih dan hak-hak manusia.

Segala-galanya berubah selepas 8 Mac setelah rakyat dari semua bangsa mahu perubahan.

Apabila tidak ada satu parti yang betul-betul kuat untuk menubuhkan kerajaan, tiga parti pembangkang membentuk pakatan dan memaksa DAP menilai semula hubungan dengan Pas demi merubah keadaan di Perak dan Selangor.

MINGGUAN:
Apakah asas tindakan DAP sehingga dilihat tidak menghormati Sultan Perak hanya kerana isu siapa akan menjadi Menteri Besar?

KIT SIANG:
Di Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, DAP menguasai 18 kerusi, PKR tujuh dan Pas hanya tiga kerusi. Oleh itu, Pas menjadi parti terkecil dalam pakatan pembangkang dan sepatutnya yang mendapat kerusi paling banyaklah patut menjadi Menteri Besar (MB).

Walau bagaimanapun, DAP sedar Perlembagaan Negeri yang mensyaratkan hanya orang Melayu boleh menjadi MB walaupun Sultan Perak berkuasa membuat pengecualian.

Di sini, jelas, ini bukan soal Melayu atau Cina atau India tetapi sama ada DAP atau PKR menjadi MB, bukan Pas.

Selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP di Pulau Pinang, kami bersetuju untuk memberi mandat penyerahan nama calon DAP dan PKR untuk dipilih oleh Sultan Perak sebagai MB. DAP tidak meluluskan nama calon Pas walaupun sedia bekerjasama dengan parti itu untuk mentadbir Perak.

Keputusan DAP dibuat berdasarkan kebimbangan dan ketakutan rakyat jika Pas menjadi MB yang dilaporkan mahu melaksanakan hukum hudud di Kedah.

Apabila ini terjadi, DAP kena menjelaskan mandatnya sekali lagi dan terus mengadakan perbincangan dan akhirnya memutuskan untuk memulau majlis angkat sumpah ADUN Pasir Panjang yang juga Setiausaha Perhubungan Pas negeri, Ir. Mohammad Nizar Jamaluddin, sebagai MB.

MINGGUAN:
Apakah tindakan pulau itu disenangi semua orang terutama orang Melayu yang hormat pada raja-raja?

KIT SIANG:
Saya akui kesilapan yang telah dibuat, blog saya menjadi sesak dan sukar diakses ekoran ramai yang menyuarakan rasa tidak puas hati dengan kenyataan itu, sebab itu pagi-pagi lagi saya mengeluarkan kenyataan memohon maaf atas tindakan DAP meminta 18 ADUN DAP di Perak memulaukan istiadat pelantikan MB.

Sesungguhnya, tindakan yang menimbulkan rasa tidak puas hati itu tidak berniat menunjukkan rasa tidak hormat kepada Sultan Perak dan Pemangku Raja Perak, Raja Dr. Nazrin Shah.

Kenyataan memulaukan majlis itu hanyalah bertujuan menjelaskan pendirian dan keputusan DAP mengenai calon MB Perak. DAP telah mengeluarkan satu lagi kenyataan meminta semua ADUN DAP hadir pada majlis angkat sumpah itu.

DAP menerima Mohammad Nizar dan akan memberi kerjasama mentadbir negeri.

MINGGUAN:
Pembangkang menang besar kerana undi protes BN dan bukan kerana mahu pembangkang menjadi kerajaan, apakah kemenangan ini mampu dikekalkan?

KIT SIANG:
Bagi DAP, undi kali ini ialah untuk menukar kerajaan kerana rakyat mahu menilai sejauh mana kemampuan pembangkang dalam menunaikan kewajipan dan inspirasi rakyat.

Persoalan sama ada pembangkang mengekalkan kerusi atau tidak bergantung kepada prestasi yang ditunjukkan penggal ini.

Bagi saya secara peribadi, perkembangan ini menunjukkan kematangan proses demokrasi dan menyebabkan sambutan kemerdekaan ke-50 Malaysia menjadi lebih bermakna kerana sistem demokrasi yang terus subur.

Walaupun pembangkang menawan lima negeri dengan menguasai 82 kerusi Parlimen, namun secara realitinya BN dengan 140 kerusi Parlimen masih mempunyai majoriti yang kuat dan cukup selesa untuk membolehkan BN mentadbir negara dengan cekap dan berkesan.

Keadaan ini lebih baik berbanding dengan kerajaan di banyak negara maju dunia pertama lain terutama negara-negara Eropah yang hanya menang tipis berbanding pembangkang dan terbukti boleh mentadbir dengan baik.

Kini, dengan ada pembangkang yang kuat, suasana Dewan Rakyat akan berubah dan semua perbahasan rang undang-undang akan dijalankan secara lebih berkesan.

Semua Ahli Parlimen termasuk BN akan bekerja keras untuk meluluskan sebarang perkara dengan meyakinkan pembangkang mengenai kebaikan undang-undang yang diluluskan kepada rakyat.

Perubahan positif ini adalah sejajar dengan cita-cita Perdana Menteri yang mahu rakyat Malaysia memiliki minda kelas pertama dengan sokongan infrastruktur kelas pertama menerusi Parlimen yang seimbang.

MINGGUAN:
Adakah sebarang penanda aras atau standard untuk wakil rakyat DAP?
KIT SIANG:
Rakyat Malaysia tentunya mempunyai harapan yang tinggi terhadap wakil-wakil rakyat pembangkang terutama DAP dan jika mereka gagal menunjukkan prestasi yang baik, rakyat akan menghukum mereka sama, pepatah Cina ada berbunyi ‘air boleh melancarkan perjalanan bot ketika belayar dan air juga boleh membuatkan bot itu terbalik’.

Walau bagaimanapun, DAP akan bermesyuarat hujung minggu ini bagi membincangkan mengenai modus operandi dan tahap kualiti perkhidmatan kepada rakyat agar ia menjadi keutamaan kepada setiap wakil rakyat DAP.
MINGGUAN:
Anak YB, Lim Guan Eng adalah Ketua Menteri (KM) Pulau Pinang manakala YB di Ipoh Timur. Namun sudah timbul tuduhan dan tanggapan YB menjadi ‘mastermind’ dan Guan Eng hanya sebagai boneka?

KIT SIANG:
Sudah jelas hari ini bahawa Guan Eng adalah KM Pulau Pinang, justeru, semua kerja, tanggungjawab dan keputusan mengenai urusan pentadbiran Pulau Pinang adalah terpikul di bahu Guan Eng.

Saya mungkin akan memberi sedikit nasihat kepada Guan Eng namun semua keputusan akhir terletak di tangan beliau dan saya tidak akan mempengaruhi beliau. Sebagai Penasihat DAP, saya akan meneruskan kerja-kerja untuk mempromosi DAP di seluruh negara.

Cuma di bawah Guan Eng, saya berharap Pulau Pinang akan menjadi negeri contoh dengan rakyat boleh melihat sendiri kecekapan pengurusan, ketelusan kepimpinan, integriti dan pentadbiran yang baik termasuk hal-hal menjana pertumbuhan ekonomi.

Saya yakin penduduk Pulau Pinang akan memberi sokongan di atas semua usaha kerajaan negeri berdasarkan sokongan padu semasa pilihan raya yang lalu. Pakatan dengan PKR dan Pas juga diharap dapat membantu Guan Eng menjayakan projek yang dirancang.

MINGGUAN:
Kelantan di bawah Pas tidak maju kononnya kerana BN mengamalkan sikap ‘anak tiri’ dari segi pemberian peluang dan dana. Apakah YB menjangka perkara yang sama kepada Pulau Pinang?

KIT SIANG:
Selepas 8 Mac yang lalu, keadaan jelas menunjukkan rakyat negara ini mencapai tahap kematangan politik yang lebih tinggi.

Berdasarkan kematangan politik yang lebih baik, saya percaya rakyat di negeri-negeri yang diperintah oleh pembangkang tidak akan dihukum oleh Kerajaan Pusat hanya kerana mengundi parti pembangkang.

Bagi Pulau Pinang, Guan Eng menyatakan kesediaan untuk bekerjasama dengan Kerajaan Pusat dalam membangunkan Pulau Pinang dan pastinya, Pak Lah yang juga berasal dari Pulau Pinang mahu melihat negeri kelahirannya terus maju.

No comments: