Wednesday 4 August 2010

Melayu Singapura Bangkit Dengan Daya Diri

Oleh

Mohd Guntor Sadali,
Editor
Berita Harian dan Berita Minggu, Singapura

Quote

Mohd Guntor Sadali"... Memanglah orang Melayu di Singapura minoriti.

Mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang secara bersahaja mengingatkan Melayu Malaysia agar tidak menjadi seperti Melayu Singapura.

Masyarakat Melayu di Singapura tentunya TAHU apa yang telah berlaku pada mereka.
Pertama sekali, kita telah menjadi masyarakat yang amat berlainan berbanding 45 tahun lalu.
Kita telah membangunkan identiti dan falsafah hidup kita sendiri yang berbeza daripada saudara kita di seberang Tambak.

Kita mungkin pakai pakaian sama, makan makanan sama, berucap dalam bahasa sama dan mengamalkan budaya sama.
Tetapi persamaan itu BERAKHIR di situ.

Kita SEKARANG adalah sebuah masyarakat yang mendokong sikap mahu berdikari, atau berdiri atas kaki sendiri.

Kita TIDAK percaya kepada pendekatan selalu diberi bantuan atau terlalu bergantung kepada bantuan pemerintah. Dalam erti kata lain, kita tidak mahu mentaliti menopang (
crutch mentaliti).

Kita benar-benar YAKIN bahawa sebuah masyarakat yang mempunyai mentaliti menopang akan menjadi masyarakat dua 'M' - MANJA dan MALAS.
Kita TIDAK mahu dilabel sebagai masyarakat yang manja dan malas.

Inilah sebabnya masyarakat Melayu kita sentiasa berusaha gigih demi meraih dana membina masjid, madrasah dan bangunan-bangunan lain kita sendiri dalam negara Singapura yang terbatas tanahnya selain nilai tanah yang tinggi.

Meritokrasi telah terbukti sebagai sistem yang baik dan adil. Ia mendorong kita bekerja keras dan menjadikan kita bangga akan pencapaian kita.

Kita telah melihat bagaimana sistem ini telah memberi manfaat dengan bertambahnya bilangan doktor, peguam, majistret, jurutera, pemimpin korporat dan karyawan lain dalam kalangan kita.

Kita, orang Melayu di Singapura, seharusnya bangga dengan pencapaian kita kerana kita meraihnya melalui kerja keras...."

-Mohd Guntor Sadali



Berikut sedutan ucapan Editor Berita Harian dan Berita Minggu, Encik Mohd Guntor Sadali, di majlis Anugerah Jauhari Berita Harian 2010 di Hotel Shangri-La Rabu lalu.

Read here for more on BERITA HARIAN (Singapura)

Minoriti Yang Bangkit Dengan Jaya Diri


Memanglah orang Melayu di Singapura minoriti. Namun golongan minoriti ini berlainan daripada minoriti lain di dunia.

Begitu juga, ada yang melihat Singapura sebagai satu titik merah di kawasan Asia yang besar. Tetapi ia bukan titik merah sembarangan.

Adalah satu kesilapan besar untuk menyamakan saiz dengan keupayaan, seperti silapnya andaian bahawa golongan minoriti dan kecil itu lemah dan tidak penting.

Piala Dunia yang baru lalu membuktikannya. Sedang Sepanyol menjadi juara dunia, kuasa kecil bola sepak, Switzerland, merupakan satu-satunya negara dalam pertandingan itu yang menewaskan Sepanyol.

Sudah 45 tahun berlalu sejak Singapura meninggalkan Malaysia, namun masih lagi kedengaran ulasan kurang elok dari seberang Tambak mengenai masyarakat Melayu setempat.

Yang terbaru datangnya daripada mantan perdana menteri Malaysia, Tun Dr Mahathir Mohamad, yang secara bersahaja mengingatkan Melayu Malaysia agar tidak menjadi seperti Melayu Singapura.

Beliau tidak menjelaskan apa makna sebenar hujahnya, cuma komen ini dibuat dalam konteks kemungkinan Melayu Malaysia hilang kuasa di Malaysia. Sekali lagi beliau tidak menjelaskan kuasa jenis apa, cuma agak selamat menyatakannya sebagai kuasa politik. Apa yang telah berlaku kepada orang Melayu di sini sepanjang empat dekad lalu?

Apa yang mendorong Dr Mahathir untuk melahirkan keprihatinannya dan memberi peringatan kepada Melayu Malaysia? Saya musykil.

Masyarakat Melayu di Singapura tentunya tahu apa yang telah berlaku pada mereka. Pertama sekali, kita telah menjadi masyarakat yang amat berlainan berbanding 45 tahun lalu. Kita telah membangunkan identiti dan falsafah hidup kita sendiri yang berbeza daripada saudara kita di seberang Tambak.

Kita mungkin pakai pakaian sama, makan makanan sama, berucap dalam bahasa sama dan mengamalkan budaya sama. Tetapi persamaan itu berakhir di situ.

Kita sekarang adalah sebuah masyarakat yang mendokong sikap mahu berdikari, atau berdiri atas kaki sendiri.

Kita tidak percaya kepada pendekatan selalu diberi bantuan atau terlalu bergantung kepada bantuan pemerintah. Dalam erti kata lain, kita tidak mahu mentaliti menopang (crutch mentaliti).


Kita benar-benar yakin bahawa sebuah masyarakat yang mempunyai mentaliti menopang akan menjadi masyarakat dua 'M' - Manja dan Malas.

Kita tidak mahu dilabel sebagai masyarakat yang manja dan malas.

Inilah sebabnya masyarakat Melayu kita sentiasa berusaha gigih demi meraih dana membina masjid, madrasah dan bangunan-bangunan lain kita sendiri dalam negara Singapura yang terbatas tanahnya selain nilai tanah yang tinggi.

Sepanjang masa lalu, kita telah meraih jutaan dolar dan menjadi pemilik bangunan-bangunan ini. Melalui usaha kita sendiri dan bantuan badanbadan lain, kita juga telah membantu golongan memerlukan bukan sahaja dari segi kewangan malah juga melengkapkan mereka dengan kemahiran baru agar mereka dapat meraih pendapatan bagi sara hidup mereka.

Namun bagi Dr Mahathir, apa semua yang telah kita lakukan dan capai tidak mencukupi. Beliau mengambil pandangan negatif dalam perubahan sikap dan minda kita, justeru mengingatkan Melayu Malaysia agar usah menjadi seperti kita.

Apa pula tentang kuasa? Bagi Melayu di Singapura, kuasa bukanlah bermakna menghunus keris. Bagi kita, ilmu itu kuasa. Malah kita percaya ilmulah merupakan kuasa sebenar.

Penekanan berterusan oleh masyarakat tentang pentingnya pendidikan dan meraih ilmu telah mendorong pembentukan institusi seperti Mendaki, Angkatan Karyawan Islam (AMP), Lembaga Biasiswa Kenangan Maulud (LBKM) dan banyak lagi.

Badan-badan bantu diri ini bukan sahaja menyediakan bantuan kewangan kepada pelajar memerlukan, tetapi juga membimbing pelajar kita agar memenuhi potensi mereka. Pada masa yang sama, badan-badan ini juga membantu menangani masalah sosial yang dihadapi masyarakat.

Sekali lagi, semua ini kita lakukan sendiri.

Kanak-kanak Melayu menghadiri sekolah sama seperti warga Singapura lain dengan satu matlamat sama - meraih pendidikan menyeluruh, dan tentulah mendapat keputusan peperiksaan yang baik.

Ya, memang ini mencabar. Seperti kanak-kanak lain, pelajar Melayu kita tiada pilihan selain bekerja keras. Ini satu hakikat kehidupan di Singapura yang telah kita terima - bahawa tiada jalan pintas bagi meraih kejayaan.

Kita tidak percaya kepada penerimaan layanan istimewa kerana ini akan hanya mengurangkan nilai pencapaian kita dan merendahkan harga diri kita.

Sistem meritokrasi yang diamalkan di sini memanglah satu sistem mencabar tetapi mendorong kita bekerja keras dan mengelakkan kita daripada menjadi manja dan malas.

Apa pun, Dr Mahathir dan beberapa pemimpin Melayu di seberang Tambak tidak suka dengan cara kita lakukan di sini dan telah memberi amaran kepada Melayu Malaysia agar tidak menjadi seperti kita.

Bagi kita, kita tidak boleh memandang ke belakang.

Meritokrasi telah terbukti sebagai sistem yang baik dan adil.

Ia mendorong kita bekerja keras dan menjadikan kita bangga akan pencapaian kita.

Kita telah melihat bagaimana sistem ini telah memberi manfaat dengan bertambahnya bilangan doktor, peguam, majistret, jurutera, pemimpin korporat dan karyawan lain dalam kalangan kita.

Kejayaan dan pencapaian sebilangan mereka inilah yang mahu ditonjolkan dan diraikan Berita Harian apabila kita melancarkan Anugerah Jauhari 12 tahun lalu.

Malam ini kita mempunyai seorang lagi contoh model bagi masyarakat kita.

Kita, orang Melayu di Singapura, seharusnya bangga dengan pencapaian kita kerana kita meraihnya melalui kerja keras.

Memang benar apa yang kita capai sejauh ini mungkin bukan yang terbaik, dan kita masih ketinggalan berbanding bangsa lain. Masih terdapat sebilangan besar anggota masyarakat kita yang menghadapi masalah sosial.

Kita telah mencapai banyak kejayaan, namun perjalanan kita masih jauh lagi. Tetapi kita tidak harus berputus asa. Kita boleh lakukan lebih banyak lagi secara sendiri jika masyarakat kita bersatu dan berpadu.

Dalam isu-isu kritikal, kita harus berseru dengan satu suara.

Kita perlu saling membantu dan mengukuhkan dan pada masa yang sama mendekati masyarakat lain dalam negara Singapura yang berbilang bangsa dan agama.

Singapura yang berjaya dan makmur hanya boleh bermakna sebuah masyarakat Melayu yang berjaya dan makmur.

Bolehkan kita melakukannya? Meminjam cogan kata kempen Presiden Barack Obama, 'Ya, kita boleh'.
-Mohd Guntor Sadali
Editor
Berita Harian dan Berita Minggu, Singapura

1 comment:

Anonymous said...

There is no harm to seek help when you need it. All of us at some point had to seek help. Even for us to stand on our two feet we need help. But the important lesson is that once we have recived help we must make sure that we never need to get help again. And even more important we must try to help our more unfortunate relatives and friends. When you have given a helping hand to another person then you can claim to have made full use of the opportunity extended to you.

Our parents sacrifice alot to give us an education in the hope that we will be able to stand on our feet. I hope that citizens in general will view help extended by government in that light. If we do not no one will be able to help us because we will be going back for more. Please do not replace "Thank You' with 'More'. Ramalax