Monday 28 July 2014

PAS, Apakah Berpegang Pada Janji dan Menepati Janji Permuafakatan Bukan Sebahagian Daripada Kehendak Islam?



oleh

Shahbudin Husin 

http://tinyurl.com/kgechwr

Kemelut jawatan Menteri Besar Selangor menjadi bertambah kacau dan caca marba.

Jika sebelum ini hanya Umno yang dilihat cuba menanggguk di air keruh dengan tiba-tiba memberi sokongan kepada Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim agar terus kekal di jawatan itu.

Scenario terbaru menjadi bertambah parah apabila Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang juga turut mempertahankan supaya Khalid juga dikekalkan.

Walaupun pendirian Hadi lebih bersifat peribadi dan bukan diputuskan dalam mesyuarat PAS tetapi beberapa pimpinan PAS seperti Datuk Nik Aziz Nik Mat, Menteri Besar Kelantan juga pemangku Ketua Dewan Ulama, Datuk Ahmad Yaakob serta Pesuruhjaya PAS Selangor, Iskandar Samad sudah pun mula menyokong pendirian Hadi itu.


Tidak mustahil akhirnya pendirian Hadi itu akan menjadi pendirian rasmi PAS walaupun ia nampak berbeza dengan pendirian wakil-wakil PAS yang hadir dalam mesyuarat Majlis Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) sebelum ini yang bersetuju dengan hasrat PKR menukar Khalid dan akan mengesahkannya dalam mesyuarat rasmi selepas Hari Raya nanti.

Tetapi dengan Hadi mendahului mengeluarkan kenyataan mahu Khalid terus dikekalkan, beliau bukan saja tidak menghormati pimpinan PAS yang lain, bahkan terlihat cuba memalukan Ketua Umum PKR Datuk Seri Anwar Ibrahim dan rakan-rakan PR yang lain.

Hadi jelas tidak matang dan ada agendanya sendiri. Tidak mustahil juga sikap Hadi ini menyebabkan PR diambang perpecahan dan sesuatu yang menggembirakan Datuk Seri Najib Razak dalam usahanya mempertahankan Putrajaya dalam pilihan raya akan datang.

Sudah tentu juga pendirian Hadi ini segera dikaitkan sekali lagi dengan kedudukan menantunya, Zaharuddin Mohamad atau Din Ayam yang sejak beberapa tahun lalu bekerja dan diberi jawatan khas dalam sebuah GLC Selangor.

Sebagaimana pengaruh Din Ayam dikatakan menjadi punca Hadi merestui tindakan PAS meletakkan calon bertindih dengan PKR di beberapa kawasan dalam pilihan raya umum lalu seperti Kota Damansara, Semenyih dan Sungai Acheh sehingga menyebabkan BN memenangi kerusi itu, kini sekali lagi hal yang sama berlaku.

Rupa-rupanya bukan saja bekas Perdana Menteri, Pak Lah yang kalah dan membiarkan dirinya dipapancaturkan oleh menantunya, Khairy Jamaluddin semasa berkuasa dahulu, Hadi juga dilihat mempunyai kecenderungan yang sama.

Begitu juga dalam pilihan raya lalu, tiba-tiba Hadi mengaitkan ada calon PKR sebagai pengedar pil kuda dengan membuat dakwaan terbuka, ketidakmatangan beliau selaku Presiden PAS dalam bertindak dan memahami erti kesepakatan lebih banyak membawa kerugian kepada PAS dan PR.

Melalui sokongan terbuka Hadi dan beberapa pimpinan PAS itu, Khalid lantas gembira dan seolah-olah mendapat nyawa semula. Sebenarnya bukan saja sokongan PAS itu memalukan parti Islam itu kerana menunjukkan ketidakmatangan dan ketidakfahaman erti permuafakatan, malah Khalid juga seharusnya malu menerima sokongan PAS itu.

Bukankah sudah dipersetujui sebelum ini kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik PKR? Setiausaha Agung PAS, Datuk Mustafa Ali sendiri mengesahkan sebelum ini bahawa PAS tidak akan menuntut kerusi itu dan menyerahkan kepada PKR menentukan pengganti Khalid yang sesuai.

Kenapakah PAS yang sentiasa menjaga halal haram dalam pemakanan dan tingkah laku serta nama Allah jarang lekang dari bibir, menjadi tidak berprinsip, goyah pendirian dan mudah melupakan janji apabila melibatkan kuasa, pangkat, wang dan kedudukan?

Apakah berpegang pada janji dan menepati janji permuafakatan bukan sebahagian daripada kehendak Islam? Mungkinkah ini penyebabnya PAS yang ditubuhkan sejak 1951 tapi masih lagi tidak ke mana dalam politik arus perdana?

Berbeza dengan DAP yang tetap berpegang pada janjinya yang dibuat sebelum ini iaitu kerusi Menteri Besar Selangor adalah milik PKR.

Dulu mereka berjanji, sehingga sekarang pendirian itu tidak goyah walaupun tidak mengamalkan cara hidup Islam, memakan babi dan sesetengahnya mungkin ada yang mengambil minuman beralkohol.

Bagaimaha agaknya perasaan PAS jika dalam kes Menteri Besar Kedah sebelum ini yang beria-ia dipertahankan oleh Hadi andainya PKR dan DAP turut membuat kacau daun?

Tidakkah juga PAS belajar bahawa disebabkan sikap Hadi yang enggan bertindak terhadap Tan Sri Azizan Razak dan menentang arus kehendak ahli dan pimpinan negeri yang lain dalam isu Menteri Besar Kedah sebekum ini menyebabkan Umno berjaya menawan semula Kedah?

Tindakan Hadi ini juga secara langsung memberi ruang kepada mana-mana parti untuk campurtangan dalam soal pelantikan menteri besar di negeri-negeri, meskipun sudah ada persetujuan dan kesepakatan.

Khalid pula seharusnya sedar diri bahawa PKRlah menjadikannya Menteri Besar.

Oleh kerana PKR yang memilihnya dan PAS serta DAP yang merupakan rakan gabungan hanya pelengkap dalam memberi persetujuan, maka jadilah beliau ketua kerajaan negeri.

Apabila PKR mahu menukarnya, beliau seharusnya akur kerana itulah lumrah jatuh bangun dalam politik. Menukar Menteri Besar tidak semestinya menunggu sehingga melakukan pecah amanah, rasuah, penyelewengan dan sebagainya.

Sudah berapa banyak Menteri Besar ditukar oleh Umno sebelum ini bukanlah kerana adanya kes-kes jenayah atau rasuah, tetapi kadang-kadang pertukaran itu penting untuk memberi nafas baru dan meniupkan angin segar dalam politik dan pentadbiran kerajaan.

Mungkin benar Khalid tidak mengkhianati rakyat dalam menjalankan tugasnya tetapi sikapnya yang lebih pro-Umno dan Pusat sejak kebelakangan ini seperti dalam isu air dan Lebuh Raya Kidex, adalah juga pengkhianatan kepada parti yang menaunginya selama ini. Apakah PAS tidak nampak perkara ini?

Tindakan Khalid berbangga dengan sokongan PAS tetapi tidak malu kerana tidak lagi dikehendaki oleh PKR menunjukkan beliau juga tidak faham politik.

Sepatutnya sokongan daripada PKR itulah yang lebih penting manakala sokongan daripada PAS dan DAP pula hanyalah kepada PKR, bukannya kepada mana-mana individu.

Sementara kemelut ini menanti jalan penyelesaiannya dan diharapkan tidak mendatangkan sesuatu yang lebih buruk kepada kerajaan Selangor dan juga PR, ada baiknya mulai sekarang ini Khalid dan Hadi mencari "cermin besar" untuk mencermin diri dan melihat wajah politiknya selama ini.

Jika sebulan Ramadan ini ramai yang mencari hidayah dan keredaan, Hadi dan Khalid sebenarnya lebih memerlukan hidayah dalam politiknya agar kedudukan mereka sebagai pemimpin lebih mendatangkan kebaikan berbanding menimbulkan kesusahan kepada orang lain.

- Shahbudin Husin


No comments: