Sunday 28 February 2010

Benarkah HAK Melayu diCabar dan Terhakis ? "HAK" Yang Mana??

Read here and here for more

by

Jahaberdeen Mohamed Yunoos


Isu yang sering diperkatakan, terutamanya, sejak Mac 2008 adalah hakisan dan cabaran terhadap “hak Melayu”.

Cabaran serta hakisan terhadap “hak melayu” ini ditonjolkan sebagai datang daripada kumpulan bukan Melayu dan yang seangkatannya iaitu “Melayu liberal”.

Benarkah hak Melayu dicabar dan terhakis? Hak yang mana? Oleh siapa dan bagaimana ia berlaku, jika ianya berlaku?

Atau adakah semua ini dongeng orang politik yang mahu memperalatkan orang Melayu untuk melanjutkan karier politik mereka?

Ketuanan Melayu

Konsep “ketuanan Melayu” hari ini sudah menjadi celaru dengan pelbagai takrif dan fahaman oleh pelbagai pihak. Pada amnya, yang dimaksudkan ialah dominasi orang Melayu di dalam medan politik.

Kalau dominasi orang Melayu dalam politik yang dimaksudkan sebagai “ketuanan Melayu”, ia bukan sahaja TIDAK terhakis, tetapi menjadi lebih kuat. Dalam tahun 2009, jumlah penduduk diMalaysia dianggarkan seramai 28.3 juta.

Hakikatnya ialah orang Melayu menjadi majoriti Negara ini dan dianggarkan akan menjadi hampir 66% dalam 10 tahun nanti. Kalau di masukkan sekali bumiputera, kemungkinan angkanya ialah hampir 70%. Melayu campur bumiputera memang majoriti.

Apa implikasinya?

Pertamanya ialah, merekalah yang akan menjadi penentu utama dalam menentukan budaya politik serta halatuju politik dalam Negara ini. Perkara ini jelas sejak Merdeka di mana di dalam Alliance Party dan kemudiannya Barisan Nasional, di mana parti politik dominan ialah UMNO – iaitu parti Melayu. Parti politik yang kedua terbesar yang menjadi Pembangkang juga didominasi oleh Melayu dengan PAS.

Pemain utama di dalam politik nasional sentiasa orang Melayu dan dari perspektif ini, ungkapan ketuanan Melayu ialah satu slogan kosong orang politik untuk memperalatkan orang Melayu.

The main players in national politics have always been Malays and hence, from this perspective, the issue of ketuanan Melayu is a mere slogan, a tool for the politicians to manipulate the Malays.

Begitu juga kalau kita lihat sejak penubuhan UMNO baru dan Semangat 46, politik orang Melayu semakin matang di mana mereka sudah berani untuk mengasingkan diri daripada UMNO. Saya katakan matang kerana di dalam arena politik, orang Melayu sudah berani untuk mencuba pendekatan selain daripada pendekatan UMNO (pertamanya ialah dengan dengan penubuhan PAS).

Hari ini, kita lihat orang-orang Melayu berada di dalam hampir semua parti-parti politik ? UMNO, PAS, DAP, PKR dan lain-lain. Orang Melayu seolah-olah “tuan” atau pemimpin di dalam arena politik.

Zaman di mana orang Melayu hanya bergantung kepada UMNO sudah berlalu.

Di dalam politik, orang-orang Melayu mempunyai kepelbagaian pandangan dan kaedah untuk berkhidmat kepada Negara atau memperjuangkan suatu isu. Saya percaya trend ini akan meningkat.

Maka isu “ketuanan Melayu” dalam konteks ini TIDAK berasas dan sudah TIDAK lagi relevan kerana sememangnya orang Melayulah yang mendominasi arena politik dan akan terus mendominasi arena politik.

Realiti terpaksa diakur

Saya percaya orang bukan Melayu juga telah menerima hakikat ini (realiti terpaksa diakur) dan kita akan sampai pada satu keadaan di mana mereka akan melihat kepada parti-parti politik yang boleh bersikap adil dan saksama kepada semua rakyat Malaysia tanpa melihat kepada keturunan atau darjat.

Begitu juga dengan orang Melayu sendiri.

Mereka telah lihat apa yang berlaku didalam Negara ini sejak merdeka – 52 tahun! Siapa yang telah kaya-raya, siapa yang masih miskin, kawasan mana yang dibangunkan, kawasan mana yang masih mundur, siapa yang rasuah, siapa yang menindas dan sebagainya, jelas dilihat.

Saya juga percaya ramai orang-orang Melayu yang miskin tidak percaya bahawa kemiskinan mereka adalah akibat “perampasan” kedudukan “tuan” mereka oleh orang bukan Melayu. Mereka masih miskin kerana kegagalan polisi untuk menangani kemisikinan.

Begitu juga dengan Melayu yang berada didalam tahap pendapatan rendah mahupun kelas menengah yang mengempas pulas mencari rezeki. Mereka sedar bahawa peluang mencari rezeki yang semakin sempit bukan ekoran orang bukan Melayu yang merancang untuk merampas hak pekerjaan mereka. Ia adalah ekoran polisi ekonomi yang tidak mantap, tidak menyeluruh serta tidak bersifat jangka panjang.

Saya tertarik dengan Kota Baru di mana terdapat banyak kedai-kedai rakyat tempatan yang berniaga. Ekonomi tempatan masih tidak dirogol oleh multi-national corporations seperti Tesco, Jusco, Ikea dan sebagainya. Oleh yang demikian, rakyat tempatan Kelantan masih boleh mencari rezeki secara terhormat, serta industri tempatan boleh berkembang.

Kebajikan rakyat tempatan didahulukan dan bukannya “keuntugan tersembunyi” oleh pihak memberi kelulusan, yang juga terdiri daripada orang Melayu elitis.

Di dalam perhimpunan mengenai “ketuanan Melayu” yang pernah dan akan dianjurkan oleh pihak politik (ada yang berselindung disebalik NGO), berapa ramai di antara lebih kurang 14,000,000 Melayu di Malaysia ini yang hadir dan mengambil bahagian? 20,000? 10,000? 5,000?

Kalau 30,000 pun itu baru merupakan 0.2% jumlah penduduk Melayu!

Kalau 100,000 pun, itu baru 0.7% daripada jumlah penduduk Melayu di Negara ini. Inilah permainan politik licik dimana “orang Melayu” diperalatkan oleh politikus Melayu untuk melanjutkan karier politik mereka atau mengalihkan perhatian dari isu-isu sebenar yang dihadapi oleh semua Rakyat, termasuk orang Melayu.

Inilah keadaan sebenarnya dan beberapa kerat di dalam arena politik dan beberapa kerat orang di Bandar terperangkap dengan politik permainan ini. Tujuannya hanyalah politik dan tidak berkaitan dengan kebajikan orang Melayu amnya.

Sebelum saya mulakan perbincangan mengenai Perkara 153 yang kita sering dengar hari ini, elok jika saya turunkan keseluruhan peruntukkan itu untuk tatapan dan fikiran pembaca dahulu.

Melalui cara ini, mudah untuk pembaca ikuti perbicangan saya nanti. Penyataan penuh Artikel 153 Perlembagaan Malaysia dapat dibaca di sini.

Benarkah Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan tercabar?

Seperkara yang perlu diingat ialah: Perbincangan mengenai Perkara 153 telah dipersembahkan sebagai satu isu yang “sensitif” dan oleh itu tidak harus dibincang seolah-olah rakyat jelata tidak matang dan tidak mampu berfikir. Di satu pihak ada yang melaungkan perkara 153 sebagai “hak Melayu” yang “tidak boleh dicabar” tanpa memahami maksud undang-undangnya.

Di pihak yang lain pula ada yang menuduh perkara 153 sebagai “tongkat Melayu” seolah-olah ia sesuatu yang harus dimalukan. Kedua-dua pendirian sedemikian tidak membantu ke arah memahami Perkara 153 mahupun ke arah melaksanakannya dengan cara yang menguntungkan Negara.

Satu lagi perkara:- Di laman web “Pusat Maklumat Rakyat” Kerajaan, ditulis sedemikian:

Kedudukan Istimewa Orang Melayu

Perkara 153 Perlembagaan telah memaktubkan Hak Istemewa Orang Melayu dan bumiputera Sabah dan Sarawak meliputi:-

- perkhidmatan awam :Perkara 153 (2,3 dan 4)

- ekonomi : Perkara 153 (6)

- pelajaran: Perkara 153 (2,3 dan 4)

- Kedudukan Istimewa orang Melayu yang lain termasuklah peruntukan Perkara 89 dan 90 ? berhubung dengan tanah rizab Melayu.

- Hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi di bawah Akta Hasutan 1948 (Pindaan 1971).

Saya berpendapat ada beberapa kecacatan dan kesilapan fakta di dalam penerangan di atas.

  1. Perkara 153 menyebut mengenai “kedudukan istimewa” dan bukan “hak istemewa”. Ini adalah dua perkara yang amat berlainan dari segi undang-undang Perlembagaan.

  2. Saya rasa kurang senang dengan keperluan untuk menyatakan bahawa “hak-hak ini tidak boleh dipertikaikan dan ia dilindungi oleh Akta Hasutan 1948″ atas beberapa sebab. Pertamanya, ia berbunyi ugutan daripada penerangan. Keduanya, pertikaian mengenai tafsiran sesuatu perundangan sentiasa berlaku di dalam Mahkamah serta di dalam penulisan undang-undang.

  3. Dalam sistem demokrasi, Rakyat juga mempunyai hak untuk menyuarakan pendapat mereka sekiranya suatu peruntukan perundangan itu disalah tafsir atau di salah guna. Tidak masuk akal sekiranya tafsiran sesuatu undang-undang itu menjadi hak mutlak penjawat awam yang bergaji sahaja – terutama apabila kualiti kebolehan pemikiran mereka sendiri di pertikai. Tindakan sedemikian tidak termasuk sebagai kesalahan di bawah Akta Hasutan. Perkara yang menjadi kesalahan ialah niat serta perbuatan untuk “menghasut”.

  4. Perkara 153 pernah dipinda oleh Parlimen beberapa kali untuk memperjelaskan maksud peruntukan itu.

Analisa Perkara 153

Sekarang kita akan cuba untuk meneliti peruntukan-peruntukan didalam Perkara 153 satu demi satu. Adalah penting untuk kita memahami peruntukan Perkara 153 supaya kita tidak diperalatkan oleh politikus-politikus yang mahu mempersembahkan diri mereka sebagai “jaguh Melayu” berdasarkan pembohongan dan penyelewengan fakta.

Begitu juga, pemahaman Perkara 153 juga membolehkan kita berhadapan dengan rasis yang membantah terhadap Perkara 153.

A. Perkara 153(1) memperuntukan bahawa YDPA bertanggung jawap untuk melindungi kedudukan istimewa orang Melayu, anak-anak negeri Sabah dan Sarawak DAN kaum-kaum lain mengikut peruntukan di situ.

B. Perkara 153 memberi “kedudukan istimewa” dan bukannya “hak” kepada orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak. “Hak” adalah sesuatu yang dimiliki oleh pemegang hak dan tidak ada orang lain yang boleh mengambil dan mengurangkan hak tersebut kecuali jika dibenarkan oleh Perlembagaan.

Hanya sipemegang hak sahaja yang mempunyai budibicara samada ia hendak gunakan hak tersebut atau tidak. Orang lain tidak mempunyai budibicara terhadap penggunaan haknya (kecuali ada undang-undang yang mungkin menggekang penggunaan haknya.

Sebagai contoh, Akta Fitnah terhadap kebebasan bersuara). Kedudukan istimewa, sebaliknya bergantung kepada budibicara munasabah pihak lain. Dalam konteks Perkara 153, budibicara munasabah ini di jalankan oleh YDPA (tertakluk kepada perkara 40 iaitu nasihat kabinet).

C. Perkara 153 (2), (3), (4) dan (8A) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda daripada biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

D. Perkara 153 (2) dan (6) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda sebahagian permit-permit dan lesen-lesen perniagaan untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah danSarawak.

E. Perkara 153 (2), (3) dan (4) memberikuasa kepada YDPA untuk merizabkan perkadaran yang difikirkan munasabah oleh baginda sebahagian daripada jawatan dalam perkhidmatan awam (selain perkhidmatan awam sesuatu Negeri) untuk orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

F. Perkara 153 (5) memperuntukan bahawa segala peruntukan dalam Perkara 153 TIDAK boleh mengurangkan peruntukan Perkara 136 yang memperuntukan bahawa

“Tertakluk kepada terma-terma dan syarat-syarat pekerjaan mereka, semua orang, walau apa pun rasnya, dalam gred yang sama dalam perkhidmatan Persekutuan hendaklah diberi layanan yang saksama”

Ini bermakna didalam soal kenaikan pangkat dalam gred yang sama ianya adalah berdasarkan kebolehan/meritokrasi dan bukannya ras.

G. Perkara 153 (9) pula memperuntukan bahawa

“Tiada apa-apa jua dalam Perkara ini boleh memberi Parlimen kuasa untuk menyekat perniagaan atau pertukangan semata-mata bagi maksud perizaban bagi orang Melayu dan anak negeri mana-mana antara Negeri Sabah dan Sarawak”

Ini boleh ditafsir bahawa keutamaan Parlimen untuk memastikan perkembangan ekonomi Negara lebih tinggi daripada keperluan untuk merizaban lesen-lesen atau permit-permit bagi orang Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak.

Walau apa pun, perizaban tidak boleh menghasilkan penyekatan perniagaan atau pertukangan untuk Rakyat Malaysia yang lain (termasuk Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati perizaban tersebut).

H. Perkara 153 (2) memperuntukan bahawa kuasa yang dijalankan oleh YDPA di bawah Perkara 153 adalah tertakluk kepada Perkara 40. Perkara 40 (1A) memperuntukan bahawa di mana YDPA dikehendaki bertindak mengikut nasihat atau selepas menimbangkan nasihat Jemaah Menteri atau seseorang Menteri yang diberi kuasa oleh Jemaah Menteri, Baginda WAJIB menerima nasihat tersebut dan WAJIB bertindak menurut nasihat tersebut. Di dalam erti kata yang lain, Jemaah Menteri lah yang membuat keputusan dari segi fakta walaupun dari segi undang-undang Perlembagaan, ianya dibuat oleh YDPA.

I. Perkara 153 mengunakan ungkapan “suatu kadar perizaban yang difikirkan munasabah oleh YDPA”. Ini bermaksud, keputusan kadar perizaban dibuat oleh YDPA (iaitu atas nasihat Jemaah Menteri) dan keputusan ini tidak boleh dicabar. (Kalau pun di bawa ke Mahkamah, saya percaya usaha itu akan gagal). Lain lah sekiranya ungkapan yang diguna adalah “suatu kadar perizaban yang munasabah oleh YDPA”. Jika ungkapan kedua ini diguna, maka besar kemungkinan keputusan kadar perizaban boleh dicabar dalam Mahkamah berkaitan dengan apa itu “munasabah”

Kesimpulan

1. Pada saya amat jelas bahawa Perkara 153 memperuntukan kedudukan istimewa kepada orang Melayu (seperti yang tertakrif dalam Perkara 160) dan anak Negeri Sabah dan Sarawak (seperti yang tertakrif dalam Perkara 161A).

2. Kedudukan istimewa ini adalah berkaitan kadar perizaban daripada:

(a) jawatan dalam perkhidmatan awam;

(b) biasiswa, danasiswa dan keistimewaan pendidikan atau latihan yang seumpamanya atau kemudahan khas lain yang diberikan atau diadakan oleh Kerajaan Persekutuan;

(c) apa-apa permit atau lesen yang dikehendaki oleh undang-undang persekutuan bagi mengendalikan apa-apa pertukangan atau perniagaan.

3. Perkara 153 tidak memberi “hak” tetapi “kedudukan istimewa”. Implikasinya ialah Melayu atau anak Negeri Sabah dan Sarawak yang tidak menikmati perizaban tersebut tidak boleh menuntutnya. Sebaliknya, jika ianya “hak”, semua Melayu dan anak Negeri Sabah dan Sarawak berhak dari segi undang-undang untuk menikmatinya dan mereka yang tidak menikmatinya boleh menuntutnya di dalam Mahkamah.

4. Sepanjang pengetahuan saya, Perkara 153 tidak pernah dicabar di dalam Mahkamah. Ianya jelas termaktub dalam Perlembagaan dan ekoran ini, adalah tidak benar jika sesiapa berkata bahawa Perkara 153 dicabar.

5. Jika ada pihak yang tidak berpuas hati terhadap implementasi Perkara 153, rungutan, cadangan atau bantahan harus di kemukakan kepada Jemaah Menteri dan bukannya berucap berapi-api di medan politik dengan dakyah bahawa Perkara 153 dicabar. Itu adalah perbuatan yang sia-sia yang tidak menguntungkan Rakyat langsung, apatah lagi orang Melayu dan anak negeri Sabah dan Sarawak.

Demikianlah tafsiran undang-undang saya terhadap Perkara 153 dan saya mengalu-alukan sebarang tafsiran yang berbeza supaya isu ini dapat di bincang dengan sopan dan secara intelek.

-Jahaberdeen Mohamed Yunoos

4 comments:

ktteokt said...

Simply a tribe who is afraid of its own shadow!

Anonymous said...

The Malays in this country control every aspect of government. In the private sector with the help of the GLCs and the Frderal Treasury this rent seeking economy controls every aspect of life. In a snese our economy and system of government is no different from that of the Government of Animal Farm.

Get real, those countries that were at the same station as us in the 60s have all joined the ranks of the First World. Some countries like Korea were even below us at that time. Wake up before it is too late and stop looking for that black cat- hak Melayu dicabar-in a dark room that is not there. Ramlax

Malaysian1957 said...

Where in the universe did the majority race became scared of the minority? As ktteokt says it, they are afraid of their own shadow. It's because they have been brainwash by corrupted leaders who are afraid of being push to the corner. When they are being driven to the corner, they will have a lot to lose. So they claim that becoz they are being challenged, their race superority is being challenged.
Why hark over something that is not ever going to happen and concentrate on building the country. What would you have achieve if you have your superiority and the country is going back 40 years in time in terms of development. Bear in mind, that statitics have shown that every new born child is slapped with at least RM20000.00 debt the moment they see daylight.

Morever whatever the goverment purchased, the tag is put on the rakyat. Ask the leaders when was the last time they really dig into their pockets to finance any projects or ventures for the good of the kampungs/housing estates. So whenever we apply for allocations, we have every right to push it as it's our own money.

Look at Brunei, a small country which only depend on oil. Every citizen will have a house, do not even pay tax and still very much ahead of us in everything.

Another up and coming country, Vietnam. A country ravage by decades of war. It's going to overtake Malaysia in development status in the next 5 to 10 years. If peoples of 2 different ideas and thinking can work together to build a nation, I can see no reason why can't we.

Anonymous said...

Malaysian 1957,
To add, a child born today will spend another RM1 Million before it finishes University at home.

I am reminded that the NEP may not neccessarily be able to build a stong economy. But I am certain that if we have a strong econmy the NEP in its present can be sustained. Hence, a shrewed government will spare no efforts to strengthen the economy and then worry about how you are going to disrtibute it. Ramalx