Wednesday 1 October 2008

Rakyat Berugama Islam: Terimalah TETAMU BUKAN ISLAM Di-Hari Raya

From Harakah Daily: Read here

Perutusan Hari Raya Aidilfitri
Ketua Dewan Ulamak PAS Pusat
Dato' Mohammad Daud

Assalamualaikum wbt, pertama sekali saya merakam ucapan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri kepada seluruh ahli dan penyokong PAS dan Pakatan Rakyat serta barisan pimpinan PAS Pusat dan negeri, Ahli Majlis Syura.

Tidak ketinggalan juga pimpinan Pakatan Rakyat.

Alhamdullillah, walau pun negara kita mengalami kegawatan dalam politik dan ekonomi, kita masih lagi dapat menyambut Hari Raya dengan penuh semangat Islam dan saya berdoa kepada Allah swt supaya Allah menerima segala amalan dan ibadat puasa di sepanjang Ramadan 1429.

Mudah-mudahan Allah memberi kepada kita kekuatan untuk menghadapi bulan-bulan seterusnya dan ganjaran bagi membolehkan kita memasuki syurga yang kita idamkan selama ini.

Saya berharap pimpinan PAS dapat memberi layanan yang baik kepada seluruh lapisan masyarakat yang datang berkunjung di rumah masing-masing dan bersedia untuk menerima mereka dalam suasana yang menggembirakan
terutamanya kanak-kanak dan kaum BUKAN Islam.

Bagi perantau pula, saya berharap mereka dapat pulang berhari raya di rumah keluarga mereka terutama yang masih mempunyai ibu bapa.

Ibu bapa amat berharap dengan kedatangan hari yang mulia ini mereka dapat berkumpul dan ini akan merapatkan lagi hubungan sillaturrahim.

Manakala bagi pelajar yang berada di luar mahu pun dalam negeri, saya berharap mereka belajar bersungguh-sungguh terutamanya dalam ilmu keagamaan kerana mereka bakal pemimpin pelapis suatu hari nanti.

Saya juga berharap orang bukan Islam dapat memahami Islam dan memberi sokongan kepada PAS dan Pakatan Rakyat dalam suasana menyambut Hari Raya Aidilfitri ini.

Adalah elok mereka dapat berkunjung ke rumah pimpinan PAS dan Pakatan Rakyat dalam suasana harmoni
kerana Islam TIDAK menyusahkan orang lain.

Malaysia merupakan negara yang mempunyai masyarakat majmuk. Oleh itu, saya berharap di Hari Raya ini,
masyarakat BUKAN Islam dapat sama-sama berhari raya dengan mengamalkan konsep kunjung mengunjung.

Pimpinan Ulama mesti memainkan peranan menyatupadukan umat Islam dan bukan Islam melalui Hari Raya.

Ini merupakan satu cara untuk menyatupadukan seluruh kaum di negara kita.

Kita tidak perlu memusuhi kaum lain kerana mereka juga merupakan hamba Allah swt dan Islam sendiri tidak pernah mengamalkan sikap bermusuhan dengan mereka.

Bagi golongan remaja pula saya berharap mereka tidak menjadikan Hari Raya sebagai hari untuk membuat maksiat seperti berjudi, minum arak dan berlumba haram di jalan raya, sebaliknya rebutlah peluang untuk berziarah ke rumah saudara mara.

Sempena Hari Raya ini juga saya menyeru kepada umat Islam agar jangan jadikan jalan raya sebagai tempat untuk menunjukkan keghairahan untuk berhari raya sehinggakan menggadaikan nyawa sendiri.

Kita sering dipaparkan dengan pelbagai tragedi kemalangan maut sepanjang Hari Raya dan ini seolah-olah Hari Raya sebagai hari menempah maut.

Akhir sekali, saya sekali lagi mengucapkan Selamat Menyambut Hari Raya Aidilfitri, Maaf Zahir dan Batin kepada seluruh rakyat Malaysia dan pimpinan PAS serta Pakatan Rakyat.

No comments: